Saturday, November 19, 2011

Boleh ambil RM100 ketika cuti

Bantuan persekolahan tak dituntut akan dikembalikan awal tahun depan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang masih belum berkesempatan mengambil wang bantuan persekolahan RM100 masih boleh mendapatkannya ketika musim cuti persekolahan ini sebelum wang berkenaan dikembalikan kepada kerajaan pada awal tahun depan.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata guru besar di sekolah perlu memulangkan kembali wang yang tidak dituntut atau sebarang lebihan kepada kerajaan selepas tempoh berkenaan berakhir.“Sepatutnya wang berkenaan sudah diserahkan menjelang akhir bulan ini, tetapi kita menyedari mungkin ada ibu bapa yang belum berkesempatan mengambil wang itu. Jadi mereka masih boleh mendapatkannya ketika cuti persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia, di ibu negara semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay serta Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Mohd Zulkifli Mohammed.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengulas kebimbangan ramai ibu bapa yang menyatakan mereka tidak sempat mengambil wang bantuan RM100 bagi setiap pelajar yang diperuntukkan kerajaan ketika pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu sebelum pelajar mula bercuti penggal hujung tahun hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemberian wang bantuan itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa membuat persediaan menghantar anak mereka memulakan sesi persekolahan tahun depan dan pihak sekolah perlu memastikan wang berkenaan tiba di tangan ibu bapa.

“Jika sudah berada di tangan ibu bapa, maka terserah kepada mereka sama ada mereka mahu menggunakannya atau menyerahkan kembali kepada pihak sekolah. Kalau sehingga hujung tahun, guru besar perlu membuat keputusan memulangkan wang berkenaan kepada kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai Hari UNESCO Malaysia, Muhyiddin berkata, sambutan yang diadakan buat kali pertama selepas 53 tahun Malaysia menyertai badan dunia itu, akan diadakan setiap tahun bagi memperjuang misi mempromosi pendidikan untuk semua (EFA), membasmi kemiskinan, meningkat toleransi, keamanan, menjamin hak sama rata jantina, memulihara warisan dunia serta menjamin kebebasan media.

“Malaysia sebenarnya sudah menghampiri sasaran 100 peratus peluang pekerjaan, berbanding sasaran yang ditetapkan UNESCO itu pada 2015. Pengiktirafan UNESCO ke atas peranan Malaysia menjadi lebih menyerlah dengan penubuhan dua institut di Malaysia selain banyak tempat warisan negara yang turut diiktiraf seperti Melaka dan Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan, kita dalam proses mendapatkan pengiktirafan tempat bersejarah terbaru iaitu di Lenggong (Perak) dan diharapkan dengan adanya sambutan seperti ini setiap tahun, rakyat lebih terdedah kepada manfaat serta kelebihan penyertaan dalam badan dunia ini,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah yang mengambil kesempatan memotong sesuka hati pemberian bantuan persekolahan berjumlah RM100 yang diberikan kerajaan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Bantuan itu adalah hak mutlak pelajar dan golongan berkenaan bebas menggunakan wang terbabit untuk kegunaan persekolahan seperti membeli pakaian, kasut atau beg sekolah,” katanya

No comments:

Post a Comment