Saturday, May 21, 2011

Sabarlah Cikgu

2011/05/21

TPM janji usul kenaikan gred guru akan diselesaikan

BALING: Keluhan kira-kira 400,000 guru yang mendakwa tercicir daripada kenaikan gred atau pangkat bermula 1 Januari tahun depan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu, sememangnya dalam perhatian Kementerian Pelajaran untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka bersabar kerana beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerima aduan, SMS dan tuntutan beberapa kesatuan guru yang mahukan kerajaan memberi perhatian terhadap perkara itu.
“Saya akan teruskan usaha berbincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah JPA yang akan memutuskan cara untuk me-menuhi tuntutan berkenaan.

“Kita kena ambil kira keupayaan kerajaan kerana dalam keadaan sekarang kita nak jimat perbelanjaan, nak kurangkan defisit negara... dan kalau kita buat keputusan kena ambil kira keupayaan kerajaan menampung kos tambahan disebabkan kenaikan gaji dan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik, di sini, semalam.

Beliau berkata, guru terbabit tidak perlu bimbang kerana kerajaan masih mempunyai masa enam bulan lagi untuk meneliti perkara itu sebelum ia berkuat kuasa Januari tahun depan.

Sebelum ini, beberapa kesatuan dalam perkhidmatan perguruan menyatakan kekecewaan mereka kerana enam tuntutan mereka tidak diberi perhatian, termasuk kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid (SKM).
Selain itu, mereka menuntut kerajaan mewujudkan jawatan baru gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilaksanakan.

Mereka juga berharap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid, khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah diberi perhatian.

Muhyiddin berkata: "Kita masih ada masa enam bulan dan dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku... apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin beliau tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi.

"Bersabarlah... kerana bila Perdana Menteri umum tarikh kuat kuasa 1 Januari 2012, kita ada masa dan saya harap bila sampai Januari nanti dia (Perdana Menteri) akan tokok sikitlah."

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran diarah mengkaji insentif dan pengiktirafan kepada guru yang menjadi pengurus pasukan dan pegawai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi menghargai sumbangan mereka dalam meningkatkan prestasi serta pencapaian atlet dan sukan di sekolah.

Beliau berkata pengiktirafan kepada guru terbabit adalah sama seperti yang diberi kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan.

“Guru terbabit juga perlu diberi pendedahan supaya kewujudan mereka sebagai pegawai kejohanan diterima di persada antarabangsa.

"Atlet yang berjaya dan mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan tertentu harus dilatih secara intensif sebelum menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.

“Begitu juga dengan pegawai kejohanan, pendedahan harus diberi kepada mereka supaya kewujudan pegawai kejohanan ini diterima di peringkat antarabangsa seperti atlet," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-53 2011 di Stadium Perak di sini, malam tadi

Monday, May 16, 2011

Kaedah baru kenaikan pangkat guru PDP


Najib umum kaedah baru kenaikan pangkat guru PDP

KUCHING: Mulai Januari tahun depan, lebih 300,000 guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) berpeluang menikmati kenaikan pangkat hingga ke gred DG54 berbanding setakat gred DG48 sekarang, walaupun menabur bakti selama 25 tahun dalam perkhidmatan.
Jika berjaya menunjukkan kecemerlangan dengan menampilkan perkhidmatan lebih bermutu seperti ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka juga berpeluang mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Kaedah baru kenaikan pangkat khusus untuk guru PDP itu adalah hadiah kerajaan sempena Hari Guru tahun ini bagi mengiktiraf pengorbanan dan menyedari beban tugas mereka memenuhi tuntutan potensi modal insan negara.

Ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan beliau dalam rakaman video yang ditayangkan ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, di sini semalam dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Melalui kaedah baru berkenaan, guru diklasifikasi dalam empat kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Guru Pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54 dalam tempoh 25 tahun perkhidmatan, berdasarkan kecemerlangan.

“Mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka, boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, masih berpeluang menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus kepada 72 jawatan, berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah gred DG48 ke DG52, membabitkan 1,228 jawatan, manakala semua Guru Penolong Kanan (GPK) Sekolah Menengah dinaikkan dari DG44 ke DG48 membabitkan 6,585 jawatan. Bagi GPK sekolah rendah kluster pula, mereka dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34.

Najib berkata, insentif itu adalah kesinambungan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan yang mengambil kira keunikan tugas guru dan keperluan memberikan kenaikan pangkat melalui kaedah berasaskan masa (time-based).

Katanya, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka pada gred DG48 selepas berkhidmat selama 25 tahun dan sudah tiba masanya laluan kerjaya guru ditambah baik.

“Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik darjah dan padang permainan dengan sebuah negara yang mahu serta bertamadun hebat tidak mungkin terbina tanpa insan bergelar guru.

“Hari ini di setiap ceruk rantau negara, guru tanpa mengenal erti penat lelah sentiasa membawa cahaya harapan kepada anak Malaysia. Merekalah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan bagi membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai beberapa tuntutan yang belum diselesaikan berkata, isu seperti guru siswazah yang belum mendapat kenaikan gred akan diselesaikan secepat mungkin.

“Perjawatan guru amat luas dan kita memandang serius setiap tuntutan yang dikemukakan serta perlu diteliti sebelum diselesaikan seperti isu guru siswazah yang berada di gred diploma.

“Begitu juga dalam mengukur pencapaian guru. Dulu kita sukar untuk menilai, tetapi menerusi sistem dan insentif baru, lebih banyak ganjaran disediakan dan ia berjaya melonjakkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.

Mengenai dakwaan insentif baru yang diumumkan Perdana Menteri sebagai meniru Buku Jingga pembangkang, beliau menegaskan, kerajaan melakukan pelbagai usaha menambah baik perkhidmatan pendidikan tanpa perlu menunggu pilihan raya.

“Insentif yang Perdana Menteri umumkan ini lebih baik daripada janji RM500 pembangkang yang hanya manis di bibir saja. Kita buat semua ini bukan disebabkan mahu menghadapi pilihan raya umum, sebaliknya ia dilakukan sepanjang masa,” katanya

Guru akan nikmati 5 kaedah kenaikan pangkat: PM

2011/05/16

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang dibuat guru.
Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.
Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," katanya.

Najib berkata, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Katanya, kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya.

"Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Najib berkata, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

"Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang membabitkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.

"Manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan," katanya.

Najib berkata, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang membabitkan sejumlah 99 jawatan.

"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya.

Tahniah kepada semua guru yang akan dinaikkan pangkat. Kalau PK-PK dinaikkan pangkat, bagaimana pula dengan guru-guru biasa? Bagaimana pula dengan guru-guru bergred DG44 Time Base dan Bidang Umum? Kenapa hanya PK-PK sahaja yang dinaikkan gred sedangkan semua guru juga berkerja keras? Malahan guru-guru biasa mempunyai bebanan yang lebih berat berbanding dengan guru-guru penolong kanan. sebagai contohnya saya sendiri mula bertugas tahun 1999, sehingga kini belum mendapat lantikan secara time base. Sejak Tahun 1999 saya mengajar 22-24 masa dalam seminggu. Selain mengajar, saya juga menjalankan beberapa tugas yang berat seperti;
1. menyediakan jadual waktu sekolah,
2. mengemaskini data emis,
3. mengemaskini data SMM (kemaskini semua data 1700 orang pelajar)
4. mengemaskini data SMM (39 buah sekolah di daerah Kota Marudu)
5. mengemaskini data SSDM (untuk 39 buah sekolah di daerah Kota Marudu)
6. mengemaskini data markah ko-kurikulum (untuk 39 buah sekolah di daerah Kota Marudu)
7. guru penasihat kelab Badminton
8. guru penasihat Persatuan bulan Sabit Merah
9. penyelaras program kecemerlangan akademik (MiSUP Badminton)
10. Warden Asrama
11. Ketua Bidang

Sebenarnya sebahagian tugas-tugas yang saya senaraikan di atas sepatutnya bukan tugas kami guru-guru biasa. Mereka sepatutnya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan berat daripada guru-guru biasa. Pada pendapat saya, adalah tidak adil sekiranya mereka sengaja meringankan bebanan yang sepatutnya dia angkat. Dengan menggunakan kuasa yang ada pada dirinya, dengan mudah dia mengagihkan bebanannya kepada orang lain. Orang lain yang dah ada bebanan sedia ada, akan membawa bebanan yang lebih berat lagi. Tugas yang sepatutnya dia buat, diberikan kepada orang lain yang tak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak.

Adil kah?
kerja kurang, gaji lebih;
kerja lebih, gaji kurang?