Wednesday, September 29, 2010

TPM umum sekolah baru SMK Bandau, Langkon


KOTA MARUDU 24 Sept. - Selepas lebih 10 tahun menumpang di sekolah rendah, guru-guru dan murid di dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini iaitu SMK Bandau dan SMK Langkon boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pembinaan sekolah baru untuk kedua-dua sekolah berkenaan.

Berita gembira itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan lawatan ke SMK Bandau, yang kini menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan, kira-kira 10 kilometer dari sini hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelan pembangunan SMK Bandau yang dijangka membabitkan kos RM34 juta sedang direka dan dijangka siap beberapa minggu lagi.

"Selepas itu kita akan membuat proses tawaran tender dan menjangkakan pembinaan boleh dimulakan awal tahun depan dan dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.

"Jika tidak ada halangan, kontraktor bagus, cuaca mengizinkan, awal tahun 2013, sekolah ini akan mendapat sekolah baru," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan tersebut.

Terdahulu, Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke daerah ini merasmikan Program Kesejahteraan Siber di Sekolah peringkat kebangsaan di SMK Tandek di sini.

Timbalan Perdana Menteri kemudian menyertai umat Islam sekitar daerah ini menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, sebelum menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembinaan SMK Langkon akan dimasukkan ke dalam fasa pertama peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bermula tahun depan.

"Bermakna kerjanya juga akan bermula tahun depan. Peruntukan juga hampir sama dan kita berharap ia dapat disiapkan selewat-lewatnya penghujung tahun 2013," katanya.

Pada sidang akhbar itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM200,00 bagi menaik taraf makmal di SMK Tandek.

Sementara itu, mengulas mengenai program susu 1Malaysia, Muhyiddin berkata, kementerian sedang menghalusi kaedah pengedaran dan pengurusan susu berkenaan di sekolah dengan pembekal di Sabah, sebelum memulakan pengagihan bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM60 juta untuk menjayakan program berkenaan sehingga hujung tahun ini.

"Tahun depan kita akan memohon peruntukan lain supaya lebih ramai pelajar layak dapat menerima susu berkenaan.

"Kita dianggarkan memerlukan 250 juta kotak susu untuk diagihkan kepada tiga juta murid setahun," katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian juga sedia untuk berbincang dengan pembekal susu lain di negara ini kerana jumlah yang dikeluarkan oleh pembekal susu di Sabah tidak mampu menampung keperluan seluruh negara.

No comments:

Post a Comment