Friday, October 7, 2011

MUHYIDDIN MINTA PENJAWAT AWAM, GURU BERI PERKHIDMATAN LEBIH BAIK

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Belanjawan 2012 sebagai yang terbaik dalam sejarah negara kerana ia memberi perhatian kepada semua peringkat rakyat selain mengimbangi defisit negara dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membentangkan Belanjawan yang seimbang di mana Malaysia mampu menyeimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dengan usaha mengurangkan defisit negara dengan mensasarkan pengurangan pada 4.7 peratus tahun depan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut menyambut baik penambahbaikan dalam sektor awam khususnya sektor pendidikan, yang turut menerima insentif-insentif istimewa.

Justeru, beliau meminta kira-kira 1.3 juta penjawat awam termasuk 480,000 guru, yang menerima imbuhan istimewa, supaya menanam semangat untuk bersedia memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Beliau berkata imbuhan yang diterima para penjawat awam itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menambahbaik perkhidmatan awam secara menyeluruh.

"Pengumuman yang dibuat itu merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh semua penjawat awam terutamanya warga Kementerian Pelajaran.

"Saya harap dengan tawaran yang lebih baik ini, mereka bukan sahaja merasa gembira tetapi dapat meningkatkan mutu kerja dan lebih bersemangat memikul tanggungjawab lebih besar terutamanya kerana sektor pendidikan sekolah amat penting dalam menjana modal insan negara," katanya pada sidang media selepas perbentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat Jumaat.

Antara insentif untuk perkhidmatan awam ialah pengenalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) di mana melalui sistem baru itu, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan yang ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai 2012.

Penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA juga akan mendapat faedah kenaikan gaji di antara tujuh hingga 13 peratus selain pelanjutan umur persaraan wajib penjawat awam dari 58 tahun ke 60 tahun dan penambahbaikan sistem kenaikan gred bagi guru.

Sektor pendidikan juga menerima banyak ganjaran termasuk Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah berjumlah RM1 bilion, pemberian baucar buku kepada semua pelajar di peringkat pengajian tinggi dan pemansuhan bayaran yuran tambahan RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Pemansuhan yuran itu membabitkan RM72.4 juta merangkumi 2,956,397 murid sekolah rendah dan RM80.4 juta bagi 2,400,835 pelajar sekolah menengah.

Muhyiddin berkata dengan keputusan itu, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak sewajarnya mengenakan sebarang bayaran yuran kepada pelajar dan sekiranya perlu mengenakan sebarang bayaran bagi membiayai projek tertentu, ia perlu merujuk perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri terlebih dahulu.

Katanya beliau akan mengumumkan secara terperinci kandungan penambahbaikan sektor pendidikan awal bulan depan.

Mengenai pengenalan SBPA, Muhyiddin berkata keputusan untuk mewujudkan skim baru itu diputuskan selepas kerajaan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan.

"Pendekatan itu bukan diputuskan begitu sahaja. Kita sudah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), sektor awam perguruan dan mereka sudah mengemukakan cadangan yang mana kita ambil kira," katanya.

Dalam pada itu, menjawab andaian bahawa Belanjawan yang dibentangkan itu sebagai 'Belanjawan Pilihan raya', Muhyiddin berkata :"Saya tidak fikir perkara itu menjadi pertimbangan utama kerana situasi dan keadaan hari ini memerlukan kerajaan prihatin akan keperluan rakyat".

Beliau berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama membentangkan Belanjawan yang berteras kepada kebajikan rakyat dan tahun ini semangat itu sejajar dengan Gagasan 1Malaysia yang berkonsep kepada rakyat didahulukan.

"Yang di sana (pembangkang), selepas 54 tahun baru nak sebut nak laksana negara kebajikan...kita sudah laksana dulu. Kita lebih tahu apa yang harus dibuat untuk kepentingan rakyat tetapi pembangkang baru sedar, baru hendak bawa ke Parlimen Buku Jingga untuk tarik minat rakyat, tapi rakyat sudah tahu," katanya.

Mengenai cukai rokok yang tidak dinaikkan, Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan berpandangan bahawa pendapatan sedia ada memadai.

Katanya, kerajaan juga khuatir jika harga rokok meningkat ia akan menjurus kepada masalah lain termasuk penyeludupan yang mana usaha untuk mencegahnya akan memakan kos lebih tinggi daripada pendapatan yang diperoleh daripada cukai rokok.

No comments:

Post a Comment

Jadual Gaji SBPA


I made this widget at MyFlashFetish.com.