Saturday, February 11, 2012

Kajian pelajar tak minat sains

IPOH: Masalah kemerosotan ketara minat pelajar dalam jurusan sains di sekolah akan ditangani melalui kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang sedang dilakukan dan dijangka siap seawal-awalnya akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan yang diberi tanggungjawab mengkaji bagi menambah baik sistem pendidikan itu akan mengemukakan pelbagai cadangan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Malah, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu tidak terhad kepada isu bidang sains malah mata pelajaran lain, termasuk Matematik dan bahasa Inggeris.
“Kajian ini dibuat oleh pakar yang akan buat perakuan dan cadangan dan kita (kerajaan) akan mengambil (menerima) cadangan itu. Mungkin kajian ini boleh siap sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya selepas menghadiri Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak, sempena lawatan seharinya ke Perak, semalam.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan mok cek bernilai RM12 juta kepada Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Perak dan RM14.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Perak.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan kebimbangannya kerana walaupun kerajaan sudah memperkenalkan banyak inisiatif memajukan bidang sains, minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran berkenaan di sekolah semakin merosot ke tahap yang kritikal.

Bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains secara keseluruhan adalah kira-kira 37 peratus dengan 29 peratus yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan sains tulen.
Muhyiddin berkata, walaupun pada beberapa peringkat negara mencatat kejayaan agak membanggakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada beberapa pihak melihat Malaysia agak terkebelakang dibandingkan beberapa negara lain, oleh itu, kajian dibuat meletakkan mengukur sistem dan kejayaan sedia ada dengan penanda aras antarabangsa bagi mengetahui kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, beliau secara prinsip bersetuju menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah, iaitu RM100 sebulan

Friday, February 3, 2012

Lambakan 13,000 guru Sains, Matematik

TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.
“Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.

Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula.

Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.

Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.

Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.

Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.