Tuesday, December 20, 2011

Taklimat dan Tandatangan Borang SBPA

Kepada semua warga SEMEKTA SMK Tandek,

Tarikh taklimat dan menandatangan borang SBPA adalah seperti berikut:
Tarikh: 23/12/2011
Hari: Jumaat
Masa: 9:30 am
Tempat: Bilik Gerakan SMK Tandek
Kehadiran: Wajib

Thursday, December 15, 2011

Tempoh tandatangan tawaran SBPA tidak akan dilanjutkan: KP JPA

PUTRAJAYA: Tempoh untuk menandatangani surat tawaran Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bermula esok sehingga 30 Disember ini tidak akan dilanjutkan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah saja dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan misalnya akibat sakit atau berada di luar negara.
Menurutnya, jika tempoh itu dilanjutkan, ia tidak adil kepada penjawat awam yang menerima kenaikan gaji pada Januari atau yang mencapai gaji mati, katanya.
Abu Bakar berkata, tempoh masa yang diberikan untuk penjawat awam membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal kepada skim perkhidmatan yang lama adalah mencukupi untuk mereka membuat pertimbangan sewajarnya.

"Saya rasa singkat atau tidak tempoh itu adalah atas tuan punya diri untuk membuat keputusan. Individu boleh membuat keputusan atas budi bicara sendiri.

Jika puas hati mereka boleh terima. Jika tidak, mereka boleh tolak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penjawat awam akan membuat keputusan secara individu yang akan memberikan faedah kepada diri sendiri, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Abu Bakar berkata, mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama dan tidak akan menerima sebarang penambahbaikan kepada skim tersebut.

Beliau juga berkata, individu yang menyertai perkhidmatan awam bermula 1 Januari depan secara automatik akan menyertai SBPA.

Sementara itu, beliau berkata penjawat awam yang masih kurang faham mengenai SBPA diminta menghubungi talian Hotline SBPA dari 8.30 pagi hingga 9 malam pada hari bekerja bermula hari ini.

Mereka boleh menghubungi talian 03-8885 3293 untuk pertanyaan mengenai pencen dan persaraan, pembangunan organisasi perjawatan dan skim Perkhidmatan (03-8885 3072); dasar Perkhidmatan prestasi dan prospek (03-8885 3201/03-8885 3227); elaun, gaji dan kemudahan cuti/perubatan (03-8885 3232), manakala untuk pertanyaan mengenai perkhidmatan lain mereka boleh menghubungi 03-8885 3283.

Selain itu, Abu Bakar berkata, mereka boleh mengemukakan pertanyaan mengenai SBPA kepada bahagian sumber manusia di agensi dan kementerian masing-masing.

"JPA juga sudah membuat kunjungan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri untuk memberi penerangan kepada penjawat awam. Hari ini pula kita ada buat taklimat di Sabah," katanya. - BERNAMA

Saturday, December 10, 2011

Daftar bantuan RM500 10 Disember

KUALA LUMPUR: Pendaftaran permohonan bagi bantuan tunai RM500 untuk meringankan beban kos hidup rakyat yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah boleh dibuat mulai 10 Disember ini untuk tempoh sebulan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Pembayaran bantuan wang tunai hanya akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari tahun depan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, borang permohonan akan diagihkan secara percuma di semua Jabatan Pembangunan Persekutuan, pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta agensi kerajaan.
Borang yang lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan hendaklah diserah di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah terpilih dan semua pejabat cawangan LHDN di seluruh negara. - Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua
“Borang yang lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah terpilih dan semua pejabat cawangan LHDN di seluruh negara,” katanya.

Isi rumah yang layak memohon merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau ketua keluarga, merangkumi individu berkahwin, termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang mempunyai tanggungan dan warga emas sebatang kara.

Ketua isi rumah yang bekerja sendiri juga layak untuk memohon.

Ahmad Husni berkata, pembayaran bantuan berjumlah RM2.6 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini.
Pada pembentangan Bajet 2012, kerajaan mengumumkan untuk memberi bantuan itu sebagai tanda prihatin dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negara ini yang semakin meningkat.

'Adu CUEPACS jika tak puas hati'

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta 15,400 penjawat awam yang mencatat prestasi rendah tetapi mendakwa berlaku penganiayaan akibat proses penilaian tidak adil atau gagal mematuhi sistem ditetapkan, segera memfailkan aduan kepada kesatuan itu.

Ini berikutan CUEPACS diberi mandat mengemukakan aduan itu secara langsung kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, hasil perbincangan malam kelmarin di antara Presiden kesatuan itu, Datuk Omar Osman dan Abu Bakar.
Omar berkata, JPA akan diberi maklumat setiap aduan terperinci dan CUEPACS pula memantau rapi perkembangan semua kes bagi memastikannya benar-benar disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.
Tegasnya, CUEPACS memandang serius perkara itu kerana menerima banyak aduan penjawat awam yang tidak berpuas hati dan mendakwa wujud elemen pilih kasih dan ketidaktelusan. Ini termasuk dakwaan tidak dipanggil bersemuka oleh penilai serta tidak dimaklumkan markah mereka yang mencetuskan tanda tanya. Keluhan itu diterima pada sesi dialog dan perjumpaan dengan ahli peringkat umbi di serata pelusuk negara.

Ada penjawat awam mendapat markah 69 peratus mendakwa digertak boleh mendapat akibat seperti disekat peluang kenaikan pangkat atau gaji jika mempertikaikan hasil penilaian diperoleh.

Walaupun belum kritikal, isu ini tidak boleh terlepas pandang. Ia mesti ditangani segera bagi mengelakkannya kian serius sehingga jadi masalah besar yang menggugat integriti dan mengakibatkan kakitangan awam hilang kepercayaan terhadap penilai, atau lebih buruk lagi mencetuskan pertelingkahan antara kedua-dua pihak, katanya.