Sunday, November 27, 2011

Nilai diri sendiri kalau mau berjaya

Ini adalah pengalaman saya ketika bermain Badminton bersama rakan-rakan sekerja. Daripada pengamatan yang saya buat ketika bermain, saya mendapati semua rakan-rakan suka menilai. Belumpun selesai bermain, mereka sudahpun berkata-kata berupa penilaian. Mereka suka mempersalahkan partner sendiri walaupun kesalahan itu dia sendiri yang buat. Yang lebih teruk lagi, pemain itu menyalahkan pihak lawan atas kesalahan yang dia buat. Sebagai contoh, apabila dia membuat dropshot dan pihak lawan membuat tapping, dia kata dia tidak undur ba... Lagi satu contoh: apabila saya return smash, dan shuttle balik dalam keadaan halfcourt; partner dengan suara keras berkata why u did that! padahal itulah kali pertama kesilapan saya buat. Ketika dia membuat shuttle floating depan net, pihak lawan dengan senang membuat tapping atau smashing, dia tak cakap pula. Setiap kali smashing yang diarahkan kepadanya tak pernah dapat diambil, pun tidak pula dia minta maaf. Inilah contoh rakan-rakan yang tidak pernah mau mengakui kesalahan sendiri. Mereka tak pernah menilai diri sendiri. Ini membuatkan mereka tidak tahu apa masalah sendiri kerana terlalu sebok mencari kesalahan orang lain.
Berdasarkan pengamatan saya, seseorang itu boleh meningkatkan skill sekiranya dia membuat refleksi sendiri. Menilai diri sendiri apakah masalah yang dia hadapi ketika bermain dan seterusnya berusaha mengatasi masalah itu. Sebagai contoh kalau smash tak kuat, buatlah fizikal fitness. Banyak sekali cara-cara latihan tersedia di youtube.

Malaysia VS Baharin

"Sangat mengecewakan" inilah yang saya rasa selepas menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Baharin dalam penentuan kelayakan dalam kumpulan. Selepas Malaysia mendahului dua gol, saya yakin pasukan Malaysia boleh menang dalam perlawanan itu. Saya yang tidak pengalaman dalam permainan Bola Sepak pun tau apa sepatutnya dibuat pada masa itu. Pada pendapat saya, pasukan Malaysia merasa terlalu yakin sehingga membuatkan mereka lalai dalam mempertahankan gawang daripada "serangan" (sebenarnya bukan serangan, ia hanya merupakan percubaan biasa saja) kerana tendangan jarak jauh. Siapa sangka rembatan jauh begitu boleh masuk ke gawang? Siapa sahaja boleh membuat rembatan sebegitu, tapi kenapa rembatan itu boleh lolos? Inilah tanda-tanda lalai, tak sedia, tak hati-hati dsb. Sedangkan tendangan penalti pun boleh ditangkap, kenapa pula tendangan jarak jauh langsung tak terjangkau? aduhai geramnya hati...

Saturday, November 19, 2011

Boleh ambil RM100 ketika cuti

Bantuan persekolahan tak dituntut akan dikembalikan awal tahun depan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang masih belum berkesempatan mengambil wang bantuan persekolahan RM100 masih boleh mendapatkannya ketika musim cuti persekolahan ini sebelum wang berkenaan dikembalikan kepada kerajaan pada awal tahun depan.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata guru besar di sekolah perlu memulangkan kembali wang yang tidak dituntut atau sebarang lebihan kepada kerajaan selepas tempoh berkenaan berakhir.“Sepatutnya wang berkenaan sudah diserahkan menjelang akhir bulan ini, tetapi kita menyedari mungkin ada ibu bapa yang belum berkesempatan mengambil wang itu. Jadi mereka masih boleh mendapatkannya ketika cuti persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia, di ibu negara semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay serta Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Mohd Zulkifli Mohammed.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengulas kebimbangan ramai ibu bapa yang menyatakan mereka tidak sempat mengambil wang bantuan RM100 bagi setiap pelajar yang diperuntukkan kerajaan ketika pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu sebelum pelajar mula bercuti penggal hujung tahun hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemberian wang bantuan itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa membuat persediaan menghantar anak mereka memulakan sesi persekolahan tahun depan dan pihak sekolah perlu memastikan wang berkenaan tiba di tangan ibu bapa.

“Jika sudah berada di tangan ibu bapa, maka terserah kepada mereka sama ada mereka mahu menggunakannya atau menyerahkan kembali kepada pihak sekolah. Kalau sehingga hujung tahun, guru besar perlu membuat keputusan memulangkan wang berkenaan kepada kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai Hari UNESCO Malaysia, Muhyiddin berkata, sambutan yang diadakan buat kali pertama selepas 53 tahun Malaysia menyertai badan dunia itu, akan diadakan setiap tahun bagi memperjuang misi mempromosi pendidikan untuk semua (EFA), membasmi kemiskinan, meningkat toleransi, keamanan, menjamin hak sama rata jantina, memulihara warisan dunia serta menjamin kebebasan media.

“Malaysia sebenarnya sudah menghampiri sasaran 100 peratus peluang pekerjaan, berbanding sasaran yang ditetapkan UNESCO itu pada 2015. Pengiktirafan UNESCO ke atas peranan Malaysia menjadi lebih menyerlah dengan penubuhan dua institut di Malaysia selain banyak tempat warisan negara yang turut diiktiraf seperti Melaka dan Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan, kita dalam proses mendapatkan pengiktirafan tempat bersejarah terbaru iaitu di Lenggong (Perak) dan diharapkan dengan adanya sambutan seperti ini setiap tahun, rakyat lebih terdedah kepada manfaat serta kelebihan penyertaan dalam badan dunia ini,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah yang mengambil kesempatan memotong sesuka hati pemberian bantuan persekolahan berjumlah RM100 yang diberikan kerajaan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Bantuan itu adalah hak mutlak pelajar dan golongan berkenaan bebas menggunakan wang terbabit untuk kegunaan persekolahan seperti membeli pakaian, kasut atau beg sekolah,” katanya

Muhyiddin umum pemansuhan projek rintis pengajaran 9 jam

LABUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya bermula di empat negeri, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.
Katanya, ketetapan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Abu Bakar Abdullah).
Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Labuan di sini, sebentar tadi.

Saturday, November 12, 2011

Guru jangan panik dengan projek rintis kerja sembilan jam


ALOR SETAR: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong hari ini menasihatkan guru supaya tidak 'panik' dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.

Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan di empat negeri - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.
"Jadi saya rasa mungkin ada guru-guru yang khuatir kerana mereka merasakan tempoh sembilan jam waktu bekerja itu tidak mengambil kira waktu persediaan mengajar dan juga penglibatan dalam ko-kurikulum. Saya rasa semua itu akan diambil kira," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Kedah di sini hari ini, Wee berkata, projek itu bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah.

"Saya harap semua guru di empat negeri terbabit tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan.

"Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara," katanya.

"Jangan anggap itu (projek rintis) sebagai satu kata putus dari kementerian. Biar mereka lakukan dahulu dan melihat hasilnya," katanya. - BERNAMA

Friday, November 4, 2011

Kohort PPSMI boleh diteruskan hingga Tingkatan Lima, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.

"Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

"Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.

Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, Muhyiddin berkata kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.

Beliau berkata kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan," katanya.

Menurutnya, hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

"Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya.

Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin berkata pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru.

Inisiatif lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya. - BERNAMA

Keputusan muktamad

  • Kerajaan tak tunduk ugutan

  • TPM beri penjelasan hari ini
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah muktamad dan tidak akan tunduk kepada ugutan berbaur politik. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, mahu polemik isu berkenaan dihentikan.
"Ini bukan soal membuat keputusan terburu-buru. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan politik, sebaliknya apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara"

Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri

Katanya, beliau akan memberi penjelasan terperinci segala persoalan dan kebimbangan ibu bapa berhubung peralihan yang perlu dilalui anak mereka, kedudukan PPSMI serta pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), hari ini.

"Kerajaan tidak boleh bertindak `terdesak dan tertunduk' kepada kumpulan kecil yang berterusan menuntut PPSMI dikekalkan, kerana majoriti rakyat memahami serta menerima keputusan yang dibuat pada 2009 untuk memansuhkan dasar itu,” katanya.

Beliau menyifatkan pihak yang lantang menyuarakan desakan itu, termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), sebagai melewati tempoh dan ketinggalan kerana membuat tuntutan selepas hampir dua tahun keputusan diumumkan dan dasar MBMMBI juga sudah dilaksanakan di sekolah.
“Sejak mengumumkannya (pemansuhan PPSMI) pada 2009, kita tidak menerima reaksi negatif. Sebahagian besarnya menerima baik. Saya bawa kepada Kabinet, diluluskan. Saya bawa ke Parlimen, ia dibincang dan dibahas, semua pihak bersetuju, termasuk pembangkang, pada waktu itulah. Sekarang apabila ada kumpulan begitu membuat desakan, mungkin pihak pembangkang pun hendak lompat masuk ke sana.

“Bagi kita, ini bukan soal Kementerian Pelajaran membuat keputusan terburu-buru. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan politik, sebaliknya apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara kerana kementerian memiliki cukup data dan maklumat mengenai bagaimana PPSMI dilaksanakan, apa hasil pelaksanaan itu sehingga kita membuat penilaian dan keputusan untuk tidak meneruskannya, ada asas yang kukuh.

“Sebab itu jika ada pihak yang mendesak, kita faham negara ini demokrasi dan tidak menyekat atau menghalang sesiapa bersuara walaupun mereka kadang-kadang sudah melebihi batas sehingga hendak mengugut, tetapi kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan sebegini,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan guru Bahasa Inggeris yang menyertai Program Mentor Pengajaran Bahasa Inggeris (ELT) anjuran SMR HR Group di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SMR Group, Datuk Dr R Palan.

Program itu membabitkan 120 mentor dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Mengulas ugutan berbaur politik, Muhyiddin berkata, terserah kepada masyarakat untuk menilai pihak terbabit.

“Sebenarnya soal PPSMI sudah tutup. Saya pun sudah mengatakan bahawa PPSMI sudah tidak ada lagi. Mulai tahun ini, ia tidak lagi dilaksanakan. Kita sudah melaksanakan dasar baru (MBMMBI) di sekolah seluruh negara. Muktamad. Noktah.

“Yang rakyat ingin tahu ialah bagaimana peralihan itu kerana ada pelajar yang sudah berada dalam sistem (PPSMI) sebelum kita hendak memansuhkannya. Oleh itu, kita mahu proses pembelajaran mereka tidak tergendala.

“Mereka ini mungkin kita akan beri pertimbangan, esok (hari ini) saya akan jelaskan secara terperinci bagaimana peralihan itu berlaku supaya ibu bapa tidak risau.

“Saya ada menerima SMS daripada ibu bapa yang bimbang, saya faham, saya pun ada anak, saya tahu. Kita tidak mahu ganggu mereka, jadi saya akan umumkan bagaimana kelonggaran dan proses peralihan itu akan dilakukan,” katanya.

Mengenai kenyataan MCA dan MIC yang turut meminta kerajaan mengkaji semula keputusan memansuhkan PPSMI pula, Muhyiddin berkata, dua parti komponen BN itu tidak menyatakan bantahan tetapi sekadar memberi pandangan tambahan.

Sambil berpendapat pihak berkenaan akan memahami apabila penjelasan diberikan, beliau berkata, MCA dan MIC juga adalah sebahagian daripada kerajaan di mana wakil mereka dalam Kabinet turut bersetuju ketika keputusan memansuhkan PPSMI dibuat

Kerajaan pastikan dasar baru tidak membebankan: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini, membuktikan kerajaan responsif dan memastikan dasar baru yang hendak dilaksanakan tidak membebankan dan menjejaskan pembelajaran di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata disebabkan itu
bagi pelajar yang sudah ada dalam sistem PPSMI, mereka dibenarkan meneruskannya sehingga habis.
"Sementara pelajar yang baru masuk sekolah pula akan mengikuti sistem baru
iaitu Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI).

"Jadi saya haraplah (keputusan mengenai PPSMI) diterima baik oleh semua
peringkat masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat
mengenai pelaksanaan "Soft Landing" PPSMI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pekeliling baru akan dikeluarkan secepat mungkin kerana pekeliling asal mungkin tidak jelas serta sedikit mengelirukan terutamanya berhubung pelajar Tingkatan Satu tahun depan perlu menggunakan Bahasa Malaysia (BM) sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran
itu.

Mengenai buku teks sekolah pula, beliau berkata ia akan dibekalkan dalam BM
dan juga Bahasa Inggeris (BI), jadi terpulang kepada pihak sekolah untuk
memilih.

"Kertas peperiksaan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat dalam dwibahasa
dan pelajar bebas untuk memilih sama ada hendak menjawab dalam BM atau BI,"
katanya.

Mengenai pemilihan pengajaran dan pembelajaran Saind dan Matematik sama ada
dalam BM atau BI ditentukan pihak sekolah atau ibu bapa, Muhyiddin berkata:"
sekarang pun sekolah sudah membuat keputusan sendiri".

"Semasa kita kata PPSMI dibuat dalam BI apabila sekolah tengok ia tidak
boleh dilaksanakan, mereka gunakan BM, jadi sekolah teruskanlah," katanya dan
menambah sekolah lebih arif mengenainya.- BERNAMA

Pemansuhan PPSMI sekolah rendah 2016, sekolah menengah 2021

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu pada 2021.
"Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.
"Ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan," katanya pada sidang media selepas mengadakan taklimat tertutup dengan Pegawai Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Kohort PPSMI boleh diteruskan hingga Tingkatan 5: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.
"Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.
"Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini. - BERNAMA